hati yang merasa
Dia mengendong anaknya, dan
berdiri patuh menunggu. Mahkamah: tempat asing untuk kanak-kanak, apatah
lagi untuk bayi yang masih merah, digendong lembut ibunya dalam kain lampin
kusam. Apabila giliran dan namanya dipanggil, dia memandang ke kiri dan ke
kanan untuk sesiapa memegang bayinya itu sementara dia disoal hakim.
Itulah kali pertama saya berjumpa dengannya.
Tangannya tidak digari seperti banduan lain, untuk
memudahkan dia mendukung anaknya, tapi pergerakannya masih terbatas. Sorotan
mata-mata yang memandang lebih banyak membatas daripada gerigi besi. Itu dia
tahu.
Katanya anaknya dilahirkan di dalam penjara.
Bila ditanya apakah perkerjaannya, dia menjawab kepada saya as a matter of fact:
“Ayam. Aku ni seorang Ayam”.
Naifnya saya ketika itu tidak tahu apa yang dia maksudkan
sehinggalah dia bercerita lanjut, mungkin disebabkan latah wajah saya yang
melampau: “Aku melacur diri”.
Nota ringkas saya ambil. Umurnya muda, baru 24. Wajahnya
nampak lebih tua dari angka usianya. Ceritanya lagi, bukan sekali dua. Tetapi
selama dia mula mempunyai ingatan dia telah mula melacur. Semenjak kecil? Tentu
dia dirogol. Saya catatkan untuk poin mitigasi rayuan. Sejak bila kau jadi
demikian?
Senyumnya kelat “sebelum aku boleh berlari”
Saya kira kalau dia boleh melarikan diri, dia tentu boleh
meninggalkan kerjanya, tetapi dia menggeleng “Itu sahaja benda yang aku tahu
buat”.
“Kerja senang, tapi selalu sakit. Dan ini-“ sambil
menunjukkan anaknya “bahana bila pelanggan degil memakai ‘getah’.” Masih
dikucupnya bayi yang kasihan itu.
Kesnya bersambung pada tarikh lain. Entah ujian makmal apa
pula yang belum siap.
Dia dibawa pergi, sambil diciumnya anak kecilnya
bertalu-talu.