Friday, January 06, 2012

hati yang merasa

Dia mengendong anaknya, dan berdiri patuh menunggu. Mahkamah: tempat asing untuk kanak-kanak, apatah lagi untuk bayi yang masih merah, digendong lembut ibunya dalam kain lampin kusam. Apabila giliran dan namanya dipanggil, dia memandang ke kiri dan ke kanan untuk sesiapa memegang bayinya itu sementara dia disoal hakim.

Itulah kali pertama saya berjumpa dengannya.

Tangannya tidak digari seperti banduan lain, untuk memudahkan dia mendukung anaknya, tapi pergerakannya masih terbatas. Sorotan mata-mata yang memandang lebih banyak membatas daripada gerigi besi. Itu dia tahu.

Katanya anaknya dilahirkan di dalam penjara.
Bila ditanya apakah perkerjaannya, dia menjawab kepada saya as a matter of fact:
“Ayam. Aku ni seorang Ayam”.

Naifnya saya ketika itu tidak tahu apa yang dia maksudkan sehinggalah dia bercerita lanjut, mungkin disebabkan latah wajah saya yang melampau: “Aku melacur diri”.

Nota ringkas saya ambil. Umurnya muda, baru 24. Wajahnya nampak lebih tua dari angka usianya. Ceritanya lagi, bukan sekali dua. Tetapi selama dia mula mempunyai ingatan dia telah mula melacur. Semenjak kecil? Tentu dia dirogol. Saya catatkan untuk poin mitigasi rayuan. Sejak bila kau jadi demikian?

Senyumnya kelat “sebelum aku boleh berlari”
Saya kira kalau dia boleh melarikan diri, dia tentu boleh meninggalkan kerjanya, tetapi dia menggeleng “Itu sahaja benda yang aku tahu buat”.
“Kerja senang, tapi selalu sakit. Dan ini-“ sambil menunjukkan anaknya “bahana bila pelanggan degil memakai ‘getah’.” Masih dikucupnya bayi yang kasihan itu.


Kesnya bersambung pada tarikh lain. Entah ujian makmal apa pula yang belum siap.
Dia dibawa pergi, sambil diciumnya anak kecilnya bertalu-talu.

2 comments:

Wadi AR 6 January 2012 at 11:45:00 GMT+8  

kadang kadang hidup tak selalunye indah kan kak :')

Rin 6 January 2012 at 13:59:00 GMT+8  

cerita2 mcm ni akan buat aku rasa menyesal merungut :(

Post a Comment

Say something worth your salt

toi plus moi =)

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP